PROGRAM “WORLD #QURANHOUR 1444H/2023” PERBADANAN PERPUSTAKAAN AWAM NEGERI PERAK (PPANPk)

IPOH, 13 APRIL 2023 – YB Khairudin Bin Abu Hanipah, Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak telah merasmikan Program “World #QuranHour 1444H/2023” anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak. Program yang dijalankan serentak di Malaysia ini membawa tema “Memanusiakan Ummah” bertujuan untuk menggalakkan masyarakat berinteraksi dengan Al-Quran melalui konsep baca, faham dan amal.

Program World #QuranHour 1444H/2023” telah membawa Surah Al-Insan sebagai surah pilihan, mensasarkan misi masuk syurga sekeluarga dan melahirkan insan al-Abrar. Program ini dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan bacaan Surah Al-Insan dan tadabbur oleh Ustaz Mohamad Hafizullah bin Mohd Tahir yang merupakan Imam Besar Masjid Negeri Perak.

Lebih 260 tetamu jemputan yang terdiri daripada pelbagai agensi, jabatan IPTA/IPTS dan sekolah disekitar Ipoh, kemudiannya telah melafazkan Ikrar Quran untuk menjadikan Al-Quran sebagai panduan lengkap kehidupan umat Islam.

Terdahulu para tetamu jemputan yang tiba ke Perpustakaan Awam Negeri pada awal pukul 10.30 pagi juga berpeluang mendengar ceramah daripada Ustaz Ahmad Munawir bin Salehuddin yang bertajuk Memanusiakan Ummah.

Selain itu, di akhir program PPANPk telah mengedarkan 500 bubur lambuk di bawah seliaan Kelab Rekreasi dan Kebajikan Kakitangan (KREKAP).

Hadir sama, Puan Rafidah Abdul Aziz, Pengarah PPANPk, Ts. Amirul Firdaus bin Zilah, Ahli Lembaga Pengarah PPANPk, Puan Azrina Abd Latif, Pengarah Mimbar Nusantara Holdings Sdn. Bhd, Puan Fadzilah Abdul Aziz, Guru Besar SK Manjoi 2 dan Puan Nor Hizan Haji Abd. Jalil, Guru Besar SK Rapat Setia.