MAJLIS MENANDATANGANI NOTA PERSEFAHAMAN RAKAN STRATEGIK PERBADANAN PERPUSTAKAAN AWAM NEGERI PERAK

IPOH, 13 FEBRUARI 2023- Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk) telah menandatangani empat (4) Nota Persefahaman Rakan Strategik bersama Mimbar Nusantara Holdings Sdn. Bhd, Persatuan Perpustakaan Permainan Malaysia, Persatuan Taska Perak dan Kolej Cosmopoint Ipoh.

Nota Persefahaman Rakan Strategik bersama  Mimbar Nusantara Holding Sdn. Bhd telah ditandatangani oleh Tuan Nazrin Cheong bin Abdullah, Pengarah Urusan Mimbar Nusantara Holding Sdn. Bhd. Kerjasama kedua-dua belah pihak adalah dari aspek perkongsian program, kepakaran dan pengetahuan serta penggunaan ruang dan kemudahan perpustakaan bagi memupuk minat membaca di kalangan murid dan pelajar.

Nota Persefahaman Rakan Strategik bersama Perpustakaan Permainan Malaysia telah ditandatangani oleh Datin PH Wong, Presiden Kehormat Persatuan Perpustakaan Permainan Malaysia. Kerjasama adalah dari aspek khidmat nasihat dan pelaksanaan program kepada masyarakat negeri Perak khususnya kanak-kanak. Ini merupakan satu perkhidmatan baru yang akan ditawarkan oleh PPANPk di mana kanak-kanak akan bermain, membaca dan memahami prospek sesuatu kerjaya dengan lebih mendalam.

Nota Persefahaman Rakan Strategik bersama Persatuan Taska Perak telah ditandatangani oleh Hajjah Aziah binti Mohd Shah Baki, Presiden Persatuan Taska Perak. Persetujuan dimana kerjasama adalah dari sudut, pelaksanaan program untuk kanak-kanak taska dan pra-sekolah serta perkongsian kepakaran dan pengetahuan guru-guru taska dalam program sukarelawan perpustakaan.

Nota Persefahaman Rakan Strategik bersama Kolej Cosmopoint Ipoh ditandatangani oleh Dr.Kogilathah Segaran, Ketua Eksekutif Kolej Cosmopoint Ipoh. Ini merupakan usaha strategik di antara kedua-dua belah pihak dalam menjalinkan kerjasama dari aspek menyediakan penempatan program latihan industri, penyediaan ruang fasiliti, program sukarelawan dan perkongsian kepakaran rekaan.

Menurut Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Puan Rafidah binti Abdul Aziz, “Nota Persefahaman Rakan Strategik yang telah termeterai ini akan membuka lembaran baru dan mampu memberikan impak yang positif kepada PPANPk dalam merialisaikan hasrat jabatan untuk terus memberikan sumbangan dan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat negeri Perak khususnya.” katanya semasa memberi ucapan aluan di majlis tersebut.

Majlis ini berlangsung dengan jayanya di Perpustakaan Awam Negeri dengan berbekalkan matlamat menjalinkan hubungan rakan strategik dengan keempat-empat agensi bagi memberikan perkhidmatan perpustakaan yang lebih baik kepada masyarakat.