PERBADANAN PERPUSTAKAAN AWAM NEGERI PERAK JAYAKAN PROGRAM JOM BACA BERSAMA 10 MINIT DI MAKTAB RENDAH SAINS MARA (MRSM) SULTAN AZLAN SHAH KUALA KANGSAR

KUALA KANGSAR, 23 April 2025 – Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk) dengan kerjasama Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sultan Azlan Shah Kuala Kangsar telah menganjurkan program Jom Baca Bersama untuk 10 Minit. Seramai 807 orang pelajar dan guru telah menghadiri dan menyertai program ini.

Program ini merupakan acara tahunan yang diadakan serentak di seluruh Malaysia dengan tema “Nikmati Saat Ini.”

Inisiatif ini bertujuan untuk memupuk kesedaran mengenai kepentingan amalan membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia secara umum, dan khususnya rakyat negeri Perak. Melalui pendekatan simbolik, peserta digalakkan untuk berhenti seketika dan meluangkan masa selama 10 minit untuk membaca bersama-sama. Program ini juga menunjukkan komitmen PPANPk dalam usaha memperkukuh budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

Antara aktiviti menarik yang diadakan sepanjang program termasuklah Pengenalan Pangkalan Data (U-Pustaka), Ceramah bertajuk "ChatGPT & AI: Peluang & Cabaran dalam Pendidikan", aktiviti GoHuntXploreX, Pertandingan Lightning Talk, Perkhidmatan Bas Multimedia dan permainan robotik.

Turut hadir memeriahkan program ialah YBrs. Puan Rafidah binti Abdul Aziz, Pengarah PPANPk; YBrs. Encik Khairil Azri bin Mohd Habibollah, Pengetua MRSM Sultan Azlan Shah Kuala Kangsar; Puan Shamsiah binti Mohamed@Alias, Timbalan Pengetua Kecemerlangan Akademik; dan Puan Murni Asyikin binti Nor Maan, Guru Media.