MESYUARAT PENYELARASAN SAMBUTAN MINGGU PERPADUAN ZON UTARA 2026, JOM BACA BERSAMA 10 MINIT DAN BAZAR BUKU PERAK 2026

IPOH, 9 April 2026 - Telah berlangsung Mesyuarat Penyelarasan Sambutan Minggu Perpaduan Zon Utara 2026, Jom Baca Bersama 10 Minit dan Bazar Buku Perak 2026 yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, YBhg. Puan Anisatul-Wahidah Binti Abdul Wahid.

Turut hadir dalam mesyuarat ini ialah Ketua Penolong Setiausaha Bahagian, Bahagian Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, YBrs. Puan Anita Binti Amri; Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, YBrs. Puan Rafidah Binti Abdul Aziz serta wakil-wakil daripada pelbagai agensi berkaitan.

Mesyuarat ini bertujuan untuk menyelaras perancangan dan pelaksanaan Sambutan Minggu Perpaduan Zon Utara 2026 yang akan menghimpunkan pelbagai pengisian berteraskan perpaduan, ilmu dan penglibatan komuniti. Perbincangan turut memberi penekanan kepada aspek kesiapsiagaan lokasi, penyelarasan program bersama agensi, pengurusan logistik serta strategi promosi bagi memastikan penganjuran berjalan lancar dan berimpak tinggi.

Selain itu, mesyuarat ini turut membincangkan pelaksanaan program utama iaitu Jom Baca Bersama 10 Minit, sebagai inisiatif nasional dalam membudayakan amalan membaca secara serentak, serta Bazar Buku Perak 2026 yang akan menjadi antara tarikan utama dengan penglibatan pelbagai penerbit, agensi kerajaan dan pengisian aktiviti di pentas utama.

Melalui kerjasama strategik antara agensi persekutuan dan negeri, penganjuran program ini diharapkan dapat memperkukuh semangat perpaduan, memperluas akses kepada ilmu serta menggalakkan penglibatan aktif masyarakat dalam aktiviti berasaskan pembacaan dan komuniti.