MAJLIS LEMBARAN GEMILANG: ERATKAN UKHUWAH, KUKUH JALINAN PERPUSTAKAAN NEGARA DAN NEGERI

IPOH, 9 November 2025 - Majlis Makan Malam “Lembaran Gemilang” anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk) di Miker Signature, Medan Gopeng menjadi kemuncak pertemuan penting.

Program ini diadakan bagi meraikan kehadiran tetamu khas daripada Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM), susulan Mesyuarat Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Negeri Se-Malaysia yang telah berlangsung pada sebelah petang.

Dalam ucapan alu-aluan, Yang Berhormat Dato’ Khairudin bin Abu Hanipah, Pengerusi PPANPk, menzahirkan penghargaan atas kehadiran delegasi serta komitmen Negeri Perak untuk terus mendukung aspirasi ilmu dan budaya membaca. Beliau turut menekankan bahawa majlis ini menjadi wadah memperkukuh ukhuwah dan mempererat jaringan kolaborasi strategik antara agensi perpustakaan di seluruh negara.

Diharapkan semangat “Lembaran Gemilang” ini menjadi simbol perpaduan, dedikasi dan kesungguhan dalam memartabatkan institusi perpustakaan sebagai nadi pembangunan ilmu dan literasi negara.

Hadir sama Tuan Edy Irwan bin Zulkafli, Ketua Pengarah PNM; Yang Berusaha Puan Rafidah binti Abdul Aziz, Pengarah PPANPk; Yang Mulia Ungku Hajah Noorakmal binti Ungku Sulaiman, Pengarah Perpustakaan Awam Johor, merangkap Pengerusi MPAM dan Pengarah-pengarah Perpustakaan Awam Negeri.