EXECUTIVE ENGAGEMENT PPANPk BIL. 1/2026 PERKUKUH INTEGRITI, TADBIR URUS DAN HALA TUJU PERPUSTAKAAN

IPOH, 12 Februari 2026 – Program Executive Engagement Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk) Bil. 1/2026 telah berlangsung dengan jayanya di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh. Program ini telah dihadiri oleh YBrs. Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Puan Rafidah Binti Abdul Aziz bersama Ketua-Ketua Bahagian serta kakitangan PPANPk dari seluruh negeri. Secara keseluruhan, seramai 147 orang kakitangan telah hadir bagi menjayakan program ini.

Program dimulakan dengan amanat YBrs. Pengarah yang menekankan kepentingan integriti dalam pelaksanaan tugas serta pematuhan kepada peraturan kewangan yang berkuat kuasa. Penegasan turut diberikan terhadap aspek akauntabiliti dan tadbir urus kewangan yang telus bagi memastikan pengurusan organisasi berada pada landasan yang betul.

Dalam amanat tersebut, YBrs. Pengarah turut menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2026 oleh YAB Menteri Besar Perak yang menyeru seluruh penjawat awam agar memperkukuh hasil negeri, meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan serta memaksimumkan potensi sedia ada. Peranan badan berkanun juga ditekankan agar terus menyumbang ke arah memperkukuh kedudukan fizikal serta pembangunan negeri Perak secara menyeluruh. Selain itu, Amanat YAB Menteri Besar semasa State Leadership Retreat turut disentuh sebagai panduan dalam memperkasa kepimpinan serta memperjelas hala tuju strategik PPANPk bagi tahun 2026.

YBrs. Pengarah turut memetik Surah Ar-Ra’d ayat 11 sebagai peringatan bahawa perubahan memerlukan usaha dan komitmen berterusan daripada setiap individu dalam organisasi.

Selain itu, turut dibentangkan carta organisasi baharu PPANPk serta inisiatif penjenamaan semula selaras dengan aspirasi Perpustakaan Digital Perak.

Sesi petang diteruskan dengan beberapa slot libat urus melibatkan Pengurusan Kewangan oleh Puan Noor Syazwani binti Waziruddin, Taklimat Pemantauan dan Pemeriksaan Mengejut Urus Tadbir Perpustakaan oleh Puan Suraya binti Haji Ariffin serta Pelaksanaan dan Penambahbaikan Sistem HRLib oleh Puan Mazita binti Zainuddin.

Secara keseluruhannya, program ini menjadi platform penting dalam memperkukuh komunikasi serta menyelaras hala tuju organisasi bagi memastikan kecemerlangan perkhidmatan PPANPk.