BIBLIOTERAPI: MEMBACA UNTUK PULIH, MENULIS UNTUK TUBUH

IPOH, 8 September 2025 – Kursus Biblioterapi dalam Perkhidmatan Awam: Mengurus Tekanan dan Meningkatkan Motivasi telah berlangsung di Institut Latihan Pegawai Awam (ILPA) dengan penyertaan seramai 62 pegawai dan kakitangan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk). 

Program ini menampilkan penceramah jemputan dari Universitas Pendidikan Indonesia, Dr. Susanti Agustina, yang mengetengahkan tema “Membaca untuk Pulih, Menulis untuk Tubuh” sebagai asas pemulihan emosi serta pengukuhan kendiri melalui bacaan dan penulisan reflektif.

Kursus ini bertujuan memperkenalkan konsep biblioterapi iaitu kaedah menggunakan bahan bacaan terpilih untuk membantu mengurus emosi, mengurangkan tekanan, serta meningkatkan motivasi. Pendekatan ini memberi peluang kepada peserta untuk memahami diri, membina kekuatan dalaman, serta mencapai kesejahteraan minda dan jiwa.

Sepanjang program, peserta mengikuti aktiviti seperti Visual Prompt dan Story Sharing yang mengupas aspek kekuatan, risiko, peluang, intuisi dan inisiatif. Aktiviti ini membangkitkan kesedaran kendiri di samping merangsang emosi terpendam melalui perkongsian cerita.

Sesi penulisan reflektif pula membimbing peserta menjawab persoalan mengenai cabaran, halangan, ketakutan, peluang serta penemuan diri (insight) hasil daripada proses pembelajaran. Refleksi ini diakhiri dengan perancangan langkah praktikal bagi mengaplikasikan pemahaman tersebut dalam kehidupan seharian.

Secara keseluruhannya, kursus ini berjaya membuka perspektif bahawa membaca bukan sekadar menambah ilmu pengetahuan, tetapi juga medium penyembuhan. Manakala penulisan pula terbukti menjadi saluran berkesan untuk meluahkan emosi, menenangkan jiwa, dan membina ketahanan diri.