PERBADANAN PERPUSTAKAAN AWAM NEGERI PERAK JAYAKAN PROGRAM PAMERAN DAN BICARA MADANI “BAHAYA SYIRIK: TAHYUL, KHURAFAT DAN MISTIK”
TELUK INTAN, 15 MEI 2025 – Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk) telah berjaya menganjurkan program Pameran dan Bicara Madani “Bahaya Syirik: Tahyul, Khurafat dan Mistik” bertempat di Perpustakaan Awam Cawangan Utama Teluk Intan. Program ini telah menarik kehadiran seramai 1,300 orang pengunjung.
Penganjuran program ini bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya amalan syirik, tahyul dan khurafat yang masih wujud dalam kalangan umat Islam. Kejahilan terhadap ilmu agama menjadi faktor utama segelintir umat Islam mudah terpengaruh dengan amalan khurafat yang jelas bertentangan dengan Hukum Syarak.
Antara pengisian menarik sepanjang program termasuklah pameran syirik, sesi Terapi Tadabbur: Al-Fatihah yang disampaikan oleh Imam Masjid Daerah Sultan Idris II, Teluk Intan, Yang Berusaha Ustaz Muhammad Naim bin Mohd Ikmal Hisham. Turut diadakan adalah Bicara Madani “Bahaya Syirik : Tahyul, Khurafat dan Mistik” bersama Yang Berbahagia Dato’ Ustaz Mohd Kazim Elias Al Hafiz.
Hadir sama memeriahkan program ialah YBrs. Puan Rafidah binti Abdul Aziz, Pengarah PPANPk; YBrs. Ir. Sudin bin Hasim, Jurutera Daerah JKR Teluk Intan; Encik Hafiz bin Ariffin, Pengarah Jabatan Khidmatan Pengurusan MPTI; Dr Bakri Bin Hj Zainal Abidin, Ketua Polis Daerah Hilir Perak; Puan Rozita binti Ahmad, Ketua Imigresen Cawangan Teluk Intan dan ketua-ketua jabatan agensi kerajaan dan swasta.