PENGARAH PPANPk DIKURNIAKAN ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG (APC) TAHUN 2025

IPOH, 13 Julai 2026 – Warga Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk) merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada YBrs. Dr. Rafidah binti Abdul Aziz, Pengarah PPANPk, atas penerimaan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 sempena Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh YAB Dato' Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, dengan diiringi oleh YB Dato' Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, serta YB Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak, sebagai tanda penghargaan terhadap kecemerlangan prestasi, komitmen serta dedikasi beliau dalam memacu kecemerlangan perkhidmatan awam dan pembangunan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak.

Penerimaan anugerah ini merupakan satu pengiktirafan yang amat bermakna kepada PPANPk serta menjadi inspirasi kepada seluruh warga kerja untuk terus memperkukuh budaya kerja cemerlang, berintegriti dan berorientasikan perkhidmatan berkualiti kepada masyarakat.

Semoga pengiktirafan yang diterima menjadi pemangkin untuk terus menerajui PPANPk ke arah kecemerlangan serta memperkasakan budaya membaca dan pembelajaran sepanjang hayat di Negeri Perak.