JOM BACA BERSAMA UNTUK 10 MINIT PERBADANAN PERPUSTAKAAN AWAM NEGERI PERAK

SERI ISKANDAR, 23 April 2024- Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk) telah menganjurkan program Jom Baca Bersama untuk 10 Minit dengan usaha sama Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM Seri Iskandar. Seramai 341 orang peserta telah menghadiri dan menyertai program ini.

Program Jom Baca Bersama untuk 10 Minit telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Puan Salina Binti Samsudin, Timbalan Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak. Program ini merupakan acara tahunan yang diadakan serentak di seluruh Malaysia dengan tema “Baca Dan Bahagia” "Pembacaan Melestarikan Perpaduan".

Tujuan utama penganjuran program ini adalah sebagai satu langkah awal ke arah memupuk kesedaran mengenai kepentingan membaca di kalangan masyarakat Malaysia amnya dan Perak khususnya melalui kaedah simbolik berhenti sebentar dan membaca bersama dalam tempoh yang singkat iaitu 10 minit. Ia juga sebagai sokongan daripada PPANPk bersama-sama dengan kerajaan negeri untuk meningkatkan tabiat membaca dalam kalangan masyarakat. Antara Aktiviti yang diadakan seperti Pengenalan Biblioterapi : Baca, Rawat & Bahagia, Jom Baca bersama 10 Minit dan perkongsian cerita berkenaan buku yang dibaca serta penyampaian hadiah pemenang mencipta Logo Pesta Buku Perak.

Hadir sama, Puan Rafidah binti Abdul Aziz, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak; Puan Siti Basriyah Binti Shaik Baharudin, Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM Seri Iskandar; Puan Zairina Binti Nordin, Yang Dipertua Majlis Daerah Perak Tengah dan Encik Raja Muadzam Syah bin Raja Mohd Noor, Timbalan Pengarah Institut Kemahiran Belia Negara.